SEBANYAK 18 warga Jepun dan China termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan berpakat melakukan penipuan dalam talian bulan lalu.
Pengakuan mereka direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mereka ialah Chen Zigui, 30; Liang Chengfu, 37; Hama Takuya, 35; Tustsui Shoichi, 42; Kono Kiyoshi, 51; Yamao Yuta, 27; Kishi Kosuke, 26; Ryo Nomita, 34; Chen Yien, 34; Ohak Koki, 35; Motokawa Yuya, 30; Takumi Nakano, 26; Matsumoto Satoshi, 44; Inanobe Yuya, 24; Lin Ping, 42; Hashimoto Takuya, 34; Minamihata Naoto, 37; dan Yuina Miki, 25.
Kesemua mereka didakwa melakukan pakatan jahat jenayah menjalankan aktiviti penipuan dalam talian di Taman Bukit Juru, Seberang Perai Tengah antara jam 12 hingga 12.10 tengah hari 20 November lalu, lapor Bernama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzli Hassan menawarkan jaminan RM10,000 seorang dengan penjamin warga tempatan manakala peguam Mahesh Ananthan yang mewakili kesemua tertuduh merayu jaminan lebih rendah kerana mereka menyara keluarga di negara asal dan memberi kerjasama kepada polis.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 3 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Pada 20 November lalu, polis menahan 18 warga asing termasuk seorang wanita selepas menggempur dua banglo di kawasan Simpang Ampat, Batu Kawan yang dijadikan sebagai lokasi sindiket penipuan menerusi panggilan telefon dengan menyamar polis dari Jepun.



