Kabinet tidak bincang penyahklasifikasian minit mesyuarat lembaga pengampunan – Zambry

KABINET tidak pernah membincangkan penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendedahan dokumen kerajaan tanpa kebenaran merupakan perkara serius yang boleh memberi implikasi besar kepada negara.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, kebimbangannya bukan berkaitan keputusan atau perbincangan LPWP, sebaliknya tindakan pihak tidak bertanggungjawab mendedahkan dokumen sulit kerajaan.

“(Pengedaran dokumen itu) tidak sepatutnya berlaku melainkan kerajaan menyahklasifikasikannya.

“Dalam konteks Kabinet, perkara ini tidak pernah dibincangkan,” katanya kepada pemberita di luar Festival Idea Putrajaya 2026, hari ini, lapor FMT.

Menurutnya, tindakan mendedahkan dokumen sulit turut menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dokumen kerajaan lain yang masih diklasifikasikan sebagai rahsia.

“Apa akan berlaku kepada dokumen kerajaan lain yang diklasifikasikan sebagai sulit? Ini bukan isu politik. Ini isu yang sangat berbahaya kepada negara secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan minit mesyuarat LPWP itu dinyahklasifikasikan susulan cabaran undang-undang Majlis Peguam terhadap pelaksanaan tahanan rumah Najib di bawah pengampunan bersyarat yang diterimanya.

Dokumen itu mendedahkan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan dua lagi anggota LPWP menentang cadangan membenarkan Najib menjalani tahanan rumah.

Pelaksanaan tahanan rumah itu tertakluk kepada Najib membayar denda yang dikurangkan kepada RM50 juta berhubung sabitan kes SRC International.

Najib mula menjalani tahanan rumah pada 10 November lalu selepas UMNO membantu membayar denda berkenaan menerusi kutipan dana awam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here