Lelaki menyamar juruiring Raja Muda Selangor dipenjara setahun lagi, satu sebatan

LELAKI yang sebelum ini dipenjara kerana menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor dijatuhi hukuman penjara tambahan 12 bulan dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu sehingga menyebabkan kerugian RM27,300.

Majistret Norsalihah Sulaiman menjatuhkan hukuman terhadap Al Zulfadly Alias, 40, dan memerintahkan hukuman itu bermula hari ini, lapor BH.

Mengikut pertuduhan pertama, Al Zulfadly didakwa menipu lelaki berusia 26 tahun dengan memperdaya mangsa untuk percaya tertuduh menawarkan sebuah Honda City milik kerajaan dan sebuah rumah di bawah rizab tanah Sultan Selangor untuk dibeli.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa menyerahkan wang berjumlah RM22,300 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh di Bandar Enstek, Nilai, antara 6 Julai 2024 hingga 22 Mac 2025.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi lelaki berusia 25 tahun supaya memindahkan RM5,000 sebagai bayaran deposit bagi pembelian sebuah unit Rumah Selangorku yang sebenarnya tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Sendayan Techvalley antara 8 hingga 9 Oktober 2024.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam J Dasene daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Pada Isnin lalu, Al Zulfadly dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah melakukan penipuan berkaitan pembelian hartanah secara tidak sah.

Sehari kemudian, dia turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu membabitkan urusan pembelian hartanah dan kereta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here