‘’KALAU mabuk kenapa dia memandu kereta, saya tanya pun tak ada guna dah sekarang. Kalau mabuk, saya nak tengoklah macam mana undang-undang Malaysia.’’
Itulah yang ditegaskan oleh Mohibul Hassan, 50 bapa saudara kepada warga Bangladesh Muzahid Millad, 22, yang maut dalam kemalangan akibat dirempuh pegawai tentera mabuk di Lebuhraya MEX, awal pagi hari ini.
Sambil mengharapkan keadilan ditegakkan Mohibul Hassan, 50, berkata Muzahid bersama isterinya datang ke negara ini untuk bersiar-siar di sekitar ibu negara dan teruja kembali ke Malaysia buat kali kedua bagi tujuan rakaman.
Menurutnya, pasangan yang sudah dua tahun berkahwin itu aktif sebagai ‘blogger’ pelancongan di negara asal.
Bercakap kepada wartawan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Mohibul berkata, dia terkejut apabila menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa anak saudaranya itu.
Muzahid Millad, 22, maut akibat kecederaan parah di kepala selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing yang dinaikinya bersama isteri, Nafisa Tabassun Adiba, dirempuh sebuah kereta jenis Ford Fiesta yang dipandu seorang pegawai tentera dari arah bertentangan.
Pasangan itu dilaporkan baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum kejadian berlaku.
Insiden itu turut menyebabkan Nafisa, pegawai tentera berkenaan serta seorang lagi penumpang wanita dalam Ford Fiesta mengalami kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had yang dibenarkan.


