
SALAH satu kerusi yang menjadi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang terletak dalam Parlimen Port Dickson.
Sebelum ini pertandingan di kerusi tersebut jarang mendapat perhatian kerana sejak 2013 lagi DUN itu dikuasai oleh Barisan Nasional (BN). Parti itu menang dengan majoriti 3,260 undi pada tahun tersebut kemudiannya dengan majoriti tipis 623 undi pada 2018 dan seterusnya dengan majoriti 1,461 undi pada PRU-15.
Bagaimanapun dari segi undi ia menunjukkan peningkatan ketara kepada PKR apabila mendapat 4,599 undi (2013),5,449 undi (2018) dan 6,371 undi pada 2023. Namun begitu ia tetap dianggap kubu BN.
Atas sebab itu apabila Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan membuat keputusan berpindah dari DUN Sikamat ke Linggi,ia menimbulkan persoalan.
Ada yang mendakwa beliau mahu larikan diri ke Sikamat. Soalnya tak kanlah kalau Sikamat sudah ‘tidak selamat’, kenapa perlu lari ke Linggi yang dianggap kubu BN…itu sudah ibarat ‘terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau’’, lebih baik Aminuddin ‘kawtim’ dengan DAP tanding kerusi selamat.
Lagipun di DUN Sikamat walaupun majoriti Aminuddin sedikit berkurangan contohnya daripada 3,412 undi (2018) kepada 2,662 undi (2023) tetapi jumlah undi beliau meningkat dari 9,832 undi (2018) kepada 12,330 (2023). Ia bermakna sokongan terhadap beliau masih utuh. Justeru ramai tertanya-tanya apa strategi beliau untuk bertanding di Linggi?
Berdasarkan kepada keputusan pilihan raya berkenaan adalah jelas Aminuddin berpindah ke Linggi adalah sebagai salah satu strategi untuk memastikan PH menawan kerusi parti lawan dan bukan sekadar mempertahan kerusi sedia ada.
Kalau mahu mempertahankan kerusi sedia ada, Aminuddin tak perlu bersusah payah ke Linggi. Sebaliknya serah sahaja kepada rakyat membuat keputusan, tetapi Aminuddin tidak mahu lagi sejarah berulang. Beliau tidak mahu ‘mengemis’ kepada parti lain untuk menubuhkan kerajaan tetapi akhirnya ‘menderita’, sebaliknya mahu mendapat mandat tersendiri.
Persoalannya apakah peluang Aminuddin setakat ini? Bercakap kepada wartawan selepas menyerahkan borang pencalonan di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, hari ini, Aminuddin menyifatkan peluangnya memenangi kerusi Linggi masih seimbang.
“Buat masa ini saya melihat peluang seimbang, masih 50-50. Ada masa lagi, saya tidak boleh mengatakan saya 100 peratus yakin, tetapi peluang untuk menang ada,” katanya yang menjelaskan sasaran keseluruhan PH pada PRN kali ini ialah untuk memenangi lebih 18 kerusi.
Kerusi DUN Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Aminuddin, penyandang daripada BN, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said.
Mungkin Aminuddin tidak bimbang apa-apa kerana PRN yang diadakan bukan atas kehendak beliau tetapi atas faktor politik selepas 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap beliau sebagai Menteri Besar.
Apa yang penting kemenangan dalam PRN itu penting untuk beliau meneruskan agenda pembangunan sepertimana tersedia dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 – RSNS 2045). Ia merupakan pelan induk jangka panjang kerajaan negeri yang komprehensif untuk memandu arah tuju pembangunan fizikal, ekonomi, sosial, dan alam sekitar negeri ini.
Apapun terserah kepada rakyat Negeri Sembilan menilai Aminuddin dan membuat keputusan secara rasional berdasarkan prestasi dan pencapaian beliau sebagai Menteri Besar sejak 2018.






