“Kalau tiada orang Melayu nak beli, pemaju kena tunggu sehingga orang Melayu dapat beli.’’ – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani
SEBARANG usaha membangunkan kawasan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur perlu memelihara dan mengambil kira kepentingan orang Melayu.
Oleh itu kata Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani pemaju perlu memahami keunikan Kampung Sungai Baru dan perlu membina perumahan yang mampu dibeli oleh orang Melayu memandangkan tanah itu milik komuniti itu, dikurniakan oleh Sultan Selangor pada zaman British.
Beliau berkata, pemaju harus memastikan orang Melayu, penduduk asal tanah itu, mampu memiliki kediaman yang akan dibangunkan pada harga yang bersesuaian, dan berupaya membina kehidupan yang baik di situ.
“Hari ini kita berdepan masalah yang sangat kronik dari segi pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan saya tidak bersetuju perkara ini diteruskan. Tetapi disebabkan perkara ini sudah berlaku dan tidak mungkin boleh berpatah kembali, justeru pemaju perlu pastikan pembangunan di kawasan seluas 3.19 hektar itu mampu dibeli oleh orang Melayu,’’ tegas beliau dalam satu kenyataan.
Hari ini kekecohan tercetus apabila Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di kawasan tersebut.
Operasi pemotongan bekalan elektrik dan merobohkan rumah di Kampung Sungai Baru menjadi tegang ketika tindakan pengusiran baki penduduk.
Mengulas lanjut, Johari menyifatkan tindakan pemaju menggunakan akta pengambilan secara paksa terhadap 14 pemilik rumah yang enggan keluar sebagai tidak bertanggungjawab.
“Apabila kerajaan terdahulu ambil alih kawasan ini, tiada dilihat isu pengusiran penduduk di situ beramai-ramai oleh pemaju. Jadi ini yang berlaku sekarang … pemaju tidak bertanggungjawab melihat kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya di tanah yang sememangnya untuk orang Melayu,’’ tegasnya.
Johari berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bagi memastikan pembangunan di kawasan itu hanya boleh dibeli oleh orang Melayu.
“Kalau tiada orang Melayu nak beli, pemaju kena tunggu sehingga orang Melayu dapat beli,” katanya.


