Kanak-kanak autisme maut terjatuh tingkat 13 pangsapuri inap desa, ibu tidak sedap hati dari awal

SEORANG suri rumah tidak menyangka kebimbangannya sebaik sahaja tiba di sebuah pangsapuri inap desa terjawab apabila anak perempuannya yang menghidap autisme maut selepas terjatuh dari tingkat 13 pangsapuri itu Ladang Tok Pelam di Kuala Terengganu awal pagi ini.

Nor Azera Ismail, 36, dari Kampung Lepah, Selising di Pasir Putih, Kelantan memaklumkan, dia menyedari anak ketiganya, Nur Muazzah Aisyah Mubi, 7, terjatuh selepas dimaklumkan penghuni pangsapuri berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

Nor Azera berkata, dia dan suami, Mubi Mat Husin, 38, serta tiga anak dan anak saudaranya mendaftar masuk ke inap desa berkenaan jam 12 tengah malam tadi.

“Saya ada rasa rasa tidak sedap hati apabila mendapati tingkap tidak berkunci dan jeriji.

“Pada mulanya, kami berhasrat menelefon pemilik inap desa untuk menukar bilik lain, tetapi terpaksa membatalkan disebabkan sudah tengah malam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini, lapor Harian Metro.

Nor Azera dan suami serta anak-anaknya tiba di Kuala Terengganu dan menyewa inap desa di pangsapuri itu untuk menghadiri seminar keusahawanan hari ini.

Menurutnya, dia mengikat tangan Nur Muazzah Aisyah dengan tangannya menggunakan tali riben selepas mendapati mangsa beberapa kali membuka tingkap yang tidak berkunci sebelum tidur.

“Saya hanya menyedari Nur Muazzah Aisyah terjatuh selepas penghuni yang mengetuk pintu bertanyakan sama ada saya ada anak perempuan atau sebaliknya. Ketika itu saya sedang bersiap,” katanya.

Nor Azera mengakui kejadian itu berlaku dalam sekelip mata kerana anaknya masih nyenyak tidur ketika dia sedang mandi.

“Saya menjenguk keluar tingkap dan mendapati anak saya berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di tingkat enam di kawasan parkir,” katanya.

Nor Azera berkata, jenazah Nur Muazzah Aisyah akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Lepah, Selising di Pasir Putih selepas bedah siasat selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img