Kanak-kanak lapan tahun menang saman lebih RM12 juta terhadap hospital

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun berjaya memperoleh ganti rugi berjumlah RM12.19 juta selepas Mahkamah Tinggi Ayer Keroh memutuskan saman kecuaian perubatan yang difailkannya terhadap sebuah hospital kerajaan dan beberapa doktor.

Hanan Qaireen Mohd Sukri memfailkan saman melalui bapanya, Mohd Sukri Mahat, 46, selaku wakil litigasi yang sah, selepas mengalami kerosakan otak ketika dilahirkan pada 18 Februari 2018.

Akibat kecederaan berkenaan, Hanan Qaireen didiagnosis menghidap Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia yang menyebabkan keempat-empat anggota badannya mengalami kelumpuhan pergerakan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim memberikan RM10.77 juta sebagai ganti rugi am masa hadapan bagi menampung kos rawatan, rehabilitasi dan keperluan pelbagai disiplin lain yang perlu ditanggung keluarganya sepanjang hayat.

Mahkamah bagaimanapun menolak tuntutan RM220,000 bagi rawatan sel stem selepas memutuskan kaedah berkenaan belum dibuktikan keberkesanannya dan masih berada pada peringkat eksperimen.

Selain itu, Hanan Qaireen turut diberikan RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM441,754.83 ganti rugi khas, RM300,000 ganti rugi teruk serta RM157,792.22 bagi ganti rugi prabicara.

Mahkamah turut memberikan RM176,718.75 bagi kos guaman dan perbelanjaan, selain menetapkan faedah lima peratus terhadap jumlah penghakiman, lapor BH.

Dalam penghakimannya, Isa Aziz turut menasihatkan keluarga Hanan Qaireen supaya menguruskan wang pampasan itu dengan sebaik-baiknya demi kebajikan kanak-kanak berkenaan.

“Walaupun jumlah ini kelihatan banyak, itu untuk tempoh 55 tahun. Jika dikira pampasan sebulan cuma kira-kira RM20,000 dan saya rasa ia memadai serta bukannya satu kemewahan.

“Apa yang telah terjadi telah terjadi. Ini qada dan qadar kita sebagai orang Islam. Diharapkan jumlah ini tidak dibazirkan dan digunakan sebagaimana yang sepatutnya,” katanya.

Saman berkenaan difailkan pada 30 Oktober 2023 dan pada asalnya menamakan 11 defendan, termasuk Kerajaan Malaysia, pengarah hospital serta sembilan doktor.

Ibu Hanan Qaireen, Noraisah Ali, 42, turut dinamakan sebagai plaintif kedua sebelum namanya digugurkan.

Saman terhadap 10 defendan lain pula ditarik balik selepas Kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-11 mengaku liabiliti pada hari terakhir perbicaraan pada 16 Jun lalu.

Prosiding penilaian ganti rugi bermula pada 29 September tahun lalu dengan empat saksi dikemukakan pihak plaintif, termasuk dua pakar, manakala pihak defendan tidak memanggil sebarang saksi.

Berdasarkan fakta kes, Hanan Qaireen dilahirkan dengan skor APGAR rendah iaitu 1, 3 dan 4 masing-masing pada minit pertama, kelima dan ke-10.

Dia turut memerlukan intubasi pada minit keempat selepas gagal bernafas sendiri sebelum dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU).

Pemeriksaan EEG pada hari sama menunjukkan berlaku kerosakan fungsi otak pada tahap sederhana hingga teruk.

Siri pemeriksaan MRI serta susulan perubatan antara 2018 hingga 2023 kemudian mengesahkan kecederaan teruk pada struktur penting otaknya yang membawa kepada diagnosis Cerebral Palsy Spastik Kuadriplegia.

Hanan Qaireen diwakili peguam Nur Maizatul Syakira Hashim dan Mohamed Fadly Zakariya, manakala Kerajaan Malaysia diwakili Peguam Kanan Persekutuan Norafiah Saini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here