SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika memancing bersama rakannya di Kampung Sumangkap, Kudat, hari ini.
Mangsa dikatakan sedang memancing di kawasan tali air yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya sebelum dipercayai tergelincir lalu jatuh ke dalam air.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak bomba pada jam 6 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa keluar memancing bersama rakannya kira-kira jam 5 petang sebelum kejadian berlaku. Rakan mangsa kemudian berlari pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian kepada ahli keluarga mangsa.
“Bapa saudara mangsa ke lokasi kejadian sebelum berjaya menarik mangsa naik ke darat dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya lapor BuletinTV3.
Beliau berkata, pasukan perubatan Hospital Kudat tiba di lokasi sebelum melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
Bagaimanapun, mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia.


