SEBANYAK 180,000 batang rokok dan 7,860.64 liter arak dipercayai diseludup dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kubang Semang, Georgetown, Jumaat lalu.
Rampasan bernilai RM727,351.71 termasuk cukai itu turut menyaksikan penahanan dua lelaki warga asing berusia 28 dan 36 tahun.
Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, operasi oleh Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang, dilakukan hasil risikan berkaitan kegiatan penyeludupan rokok dan arak tanpa cukai.
Menurutnya, serbuan di premis tanpa nombor itu adalah sebahagian daripada Operasi Khas Komander Polis Marin Wilayah Satu yang berlangsung dari 6 Oktober hingga semalam.
“Kedua-dua suspek direman selama 10 hari sehingga 19 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan.
Jaffri berkata, sepanjang 2026, pihaknya merekodkan 2,042 kes membabitkan tangkapan dan rampasan pelbagai jenis kesalahan dengan nilai keseluruhan RM174.63 juta.





