SEORANG kanak-kanak perempuan, Nurjilya Abdullah, 10, yang dilaporkan hilang di Kampung Numbak, Sepanggar, Kota Kinabalu pada 13 Julai lalu, kini disiasat sebagai kes bunuh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, mayat mangsa ditemukan berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar atas bukit Kampung Numbak kira-kira jam 10.38 malam, semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mayat mangsa sudah mereput sebelum identitinya dikenal pasti oleh ibu berdasarkan pakaian yang dipakai ketika dilaporkan hilang.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Lot berkata, bertindak atas maklumat dan siasatan dijalankan, polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.
“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Terdahulu, Nurjilya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Kampung Numbak Bakau, Sepanggar pada 13 Julai lalu sebelum Polis Daerah Kota Kinabalu mengeluarkan hebahan orang hilang bagi mengesannya.






