POLIS Kajang sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas kali terakhir dilihat di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma, Beranang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit pada jam 6.21 petang, semalam.
Menurutnya, remaja berkenaan dikenali sebagai Nursayyida Nafisah Khairul Fadzli dan dipercayai hilang kira-kira jam 7 malam pada 15 Jun lalu.
“Remaja terbabit berbangsa Melayu, mempunyai ketinggian kira-kira 163 sentimeter dan berat sekitar 55 kilogram.
“Ketika kali terakhir dilihat, dia memakai baju T-shirt sekolah berwarna hitam merah, seluar hitam dan tudung hitam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lokasi terakhir remaja itu dipercayai berada di hadapan SMK Bandar Tasik Kesuma.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan remaja terbabit diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222.
Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Zamri Mohd Nor di talian 010-2848761 bagi membantu siasatan.
Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.






