POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk membuang sampah di Jalan 26, Taman Putra di Ampang Jaya kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak etnik Rohingya itu pada jam 8.51 malam tadi.
Beliau berkata, kanak-kanak itu dikenali sebagai Sumaiya Khatun Shokut Ullah, berusia 12 tahun.
“Kanak-kanak itu itu dilaporkan keluar dari rumah untuk membuang sampah sebelum disedari hilang pada jam 10 pagi Jumaat lalu.
“Ciri-ciri fizikal kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 165 sentimeter, berat 55 kilogram, berkulit coklat serta berambut hitam panjang sehingga paras dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Saiful Shahfuzi Mohd Radzi di talian 019-320 2055,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Anuar menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak di bawah jagaan mereka, tidak membenarkan mereka bersendirian serta segera menghubungi polis atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya memerlukan bantuan.






