BEKAS wartawan penyiaran Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Karam Singh Walia, meninggal dunia awal pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh adik mendiang yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad, Jasbant Singh, sebentar tadi.
Dilahirkan dalam keluarga bekas polis Punjabi Sikh di Teluk Intan pada 1959, Karam Singh Walia berkhidmat sebagai wartawan penyiaran di stesen televisyen swasta negara, TV3 sejak 1995 hingga bersara pada 2014.
Dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh, mendiang terkenal dengan laporan khas yang berani dan berimpak tinggi, khususnya dalam mengetengahkan isu pencemaran, keselamatan awam serta kepentingan kelestarian alam sekitar.
Sepanjang kerjayanya, beliau menjadi antara wajah paling dikenali dalam dunia penyiaran negara menerusi laporan di TV3, dengan gaya penyampaian tegas, berautoriti dan mudah diingati penonton.
Beliau turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Press Institute apabila memenangi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007, selain dinobatkan sebagai Wartawan TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali.
Beliau juga sering dianggap sebagai pelopor kewartawanan alam sekitar di Malaysia, dengan pendekatan laporan lapangan yang mendalam serta berani mengetengahkan isu-isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.


