PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ternyata semakin hilang pertimbangan dan kewarasan apabila menggunakan bahasa kasar selepas Iran tidak memperdulikan amaran beliau untuk membuat perjanjian atau membuka Selat Hormuz.
Dalam catatan terbaru dalam platform Truth Social, bahasa yang digunakan oleh Trump jauh lebih rendah daripada samseng jalanan walaupun beliau adalah Presiden Amerika Syarikat – sebuah negara paling maju di dunia.
Trump mengancam Iran dengan menggunakan bahasa kasar dan memaki hamun apabila menegaskan akan menyerang insfrastruktur negara republik Islam itu.

Beliau yang turut menulis nama Allah dengan nada yang menghina dalam hantaran tersebut berkata, AS akan menyerang serentak infrastruktur tenaga dan pengangkutan Iran pada Selasa ini.
Semalam, Donald Trump mengancam Iran dengan “neraka” sekiranya negara itu menolak untuk “membuat perjanjian atau membuka Selat Hormuz” dalam tempoh 48 jam.
Bagaimanapun kemarahan Trump itu dipercayai berpunca daripada kejayaan Iran menembak jatuh beberapa pesawat tentera AS.
Iran mendakwa dan menunjukkan beberapa foto bahawa mereka juga menembak jatuh satu pesawat Warthog dan sekurang-kurangnya dua helikopter Black Hawk. Dua unit pesawat C-130 turut dilaporkan terkena sistem pertahanan udara Iran.
Kejadian itu sekaligus memalukan Trump yang sebelum ini begitu angkuh mendakwa, sistem pertahanan udara Iran sudah lumpuh.
Hari ini, Iran turut membalas ancaman Trump dengan menegaskan, jika Presiden AS yang berpakat dengan penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu menyerang Iran, ia ibarat membuka pintu neraka.
Iran berkata, mereka sudah bersedia sepenuhnya menghadapi serangan tersebut dan memberi amaran akan memusnahkan semua infrastruktur serta kepentingan AS di rantau Asia Barat. Tindakan yang sama juga akan dilakukan ke atas Israel.
Jika benar Iran bertindak balas seperti mana dikatakan, ia akan memberikan kesan yang amat buruk kepada Asia Barat -memandangkan majoriti negara di rantau itu mempunyai pangkalan tentera atau kepentingan AS.
Ia seterusnya akan menyebabkan seluruh dunia akan merasai kesannya khususnya dari segi ekonomi dan tenaga.


