Kematian anggota tentera Kor Armor Diraja tiada unsur jenayah – Polis

SEORANG anggota tentera yang mengikuti kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, di Kuantan meninggal dunia semalam, selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, Truper K Indiran, 22, ditemukan tidak sedarkan diri Rabu lalu di kem terbabit dan dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Menurut beliau, anggota tentera terbabit dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang semalam.

Katanya, proses bedah siasat terhadap mayat anggota terbabit dilakukan di Jabatan Perubatan Foresik hospital berkenaan pagi ini.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan fizikal dan kerosakan organ dalaman dialami anggota berkenaan.

“Sehingga kini punca kematian belum dapat dipastikan dan polis sedang menunggu laporan kimia,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.

Yahaya berkata, ketika ini kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sebelum ini tular di media sosial, mendakwa kematian anggota berkenaan dikaitkan dengan kes buli.

Indiran adalah anak bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar C Kayamboo, yang terbunuh akibat nahas pesawat jenis Beechraft B200T di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.

Ibunya, S Usha, 52, serta ahli keluarga terdekat berada di Jabatan Perubatan Forensik, HTAA, ketika proses bedah siasat dijalankan.

Mayat anggota tentera terbabit dijangka dituntut petang ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang, Pulau Pinang, bersebelahan pusara mendiang bapanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img