KEPANTASAN pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bertindak, berjaya mengawal kebakaran lima premis di Jeti Chew di Georgetown, awal pagi tadi daripada merebak ke stesen minyak berhampiran.
Lima premis berkenaan membabitkan sebuah kedai cat kereta, bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barangan lusuh dan kilang kayu.
Pegawai Operasi JBPM Pulau Pinang Zon 1 Daerah Timur Laut, Rosli Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 pagi berhubung kejadian itu.
Susulan itu, beliau berkata, operasi pemadaman segera dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai, BBP Jalan Perak, BBP Paya Terubong dan BBP Bayan Baru dengan kekuatan seramai 30 anggota.
“Setiba di lokasi, api didapati marak dengan cepat berikutan kedudukan setiap premis itu berada dalam keadaan rapat.
“Operasi itu turut dibantu sebanyak 17 Pasukan Bomba Sukarela (PBS), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika ditemui di lokasi, lapor BH.
Bagaimanapun, Rosli berkata, tiada mangsa terbabit dalam insiden berkenaan.
Jeti Chew adalah antara mercu tanda tepi laut yang paling dikenali di George Town dan diasaskan oleh imigran Cina dari wilayah Fujian yang berkongsi nama keluarga Chew.
Ia menjadi lokasi tumpuan pengunjung dengan laluan pejalan kaki kayu yang unik serta rumah tradisional yang dibina di atas tiang, selain menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat Cina sejak abad ke-19.
Terletak di sepanjang kawasan perairan bersejarah Georgetown, Jeti Chew merupakan jeti masyarakat Cina terbesar dan antara yang tertua di Pulau Pinang.





