SEBUAH kedai runcit didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan mempamerkan bagi penjualan produk tembakau yang tidak mematuhi kehendak sebagaimana ditetapkan, tahun lalu.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman denda itu selepas orang kena saman (OKS), SK Grocers yang diwakili pemilik syarikat berusia lingkungan 50-an itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.
Mahkamah turut menetapkan waran melevi akan dikeluarkan sekiranya OKS gagal menjelaskan denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, OKS didakwa mempamerkan bagi penjualan produk tembakau yang tidak mematuhi kehendak sebagaimana yang ditetapkan di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.
Perbuatan yang dilakukan di kedai runcit dekat Susur 4, Jalan Tun Abdul Razak, Johor Bahru pada jam 5.20 petang, 1 Oktober 2025 itu adalah satu kesalahan yang melanggar Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(2)(a)(i) akta yang sama.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohd Fairuz Hamdan.
Sementara itu, JKNJ dalam satu kenyataan berkata, kes itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan dan aktiviti penguatkuasaan oleh Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru dalam memastikan peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam dipatuhi sepenuhnya.


