SIASATAN kes membabitkan cucu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik bulan lalu kini diserahkan kepada Polis Pahang untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya hanya menerima laporan yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
“Untuk siasatan lanjut, kita serah kepada Polis Pahang. Kita hanya terima laporan polis sahaja dan laporan dibuat di IPD Kota Bharu,” katanya.
Terdahulu, cucu bekas Menteri Besar Kelantan itu mendakwa ditampar seorang senator ketika menghadiri Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah program berkenaan.
Menurutnya, senator terbabit yang hadir sebagai penceramah jemputan turut diperkenalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah sebuah universiti.
Beliau mendakwa, ketika sesi ramah mesra selepas bergambar, seorang Timbalan Naib Canselor memaklumkan kepada senator itu mengenai latar belakangnya sebagai cucu kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz.
Dakwanya, perbualan mereka kemudian menyentuh isu politik sebelum senator berkenaan mengeluarkan kenyataan mengkritik PAS dan secara tiba-tiba menampar pipi kirinya menggunakan tangan kanan.


