Kematian Irene Sofiya: Radzi Jidin mahu isu keselamatan sekolah diberi perhatian

BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin meluahkan rasa dukacita berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Empat yang ditemukan dalam keadaan lemah sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat semalam.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Radzi turut mempersoalkan situasi yang berlaku kebelakangan ini, khususnya berkaitan aspek keselamatan pelajar ketika berada di kawasan sekolah.

Beliau berkata, kejadian itu amat menyedihkan lebih-lebih lagi apabila mangsa hadir ke sekolah berkenaan untuk mengikuti kelas tuisyen sebelum ditemukan dalam keadaan lemah.

“Apa sebenarnya yang sedang berlaku kebelakangan ini?” katanya dalam hantaran itu.

Sebelum ini, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool, 16, ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah menengah di Yong Peng dan kejadian itu dipercayai mempunyai unsur jenayah.

Mangsa dilaporkan ditemukan oleh neneknya kira-kira jam 5.30 petang selepas wanita berkenaan menyedari cucunya masih belum pulang ke rumah.

Menurut sumber, Irene Sofiya tinggal bersama neneknya selepas kematian ibunya, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Nenek mangsa kemudian bergegas ke sekolah untuk mencarinya sebelum menemui cucunya dalam keadaan terbaring dan lemah.

Dalam hantaran sama, Radzi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangan berkenaan.

Beliau turut berharap keadilan dapat ditegakkan buat mangsa dan segala persoalan berkaitan kejadian tersebut dapat dirungkai melalui siasatan pihak berkuasa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here