KERAJAAN belum membuat keputusan muktamad berhubung kenaikan gaji minimum sebaliknya beberapa perkara berkaitan pelaksanaannya perlu diteliti terlebih dahulu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penelitian dibuat secara menyeluruh bagi memastikan aspek tempoh pelaksanaan, kumpulan pekerja dan sektor yang terlibat diambil kira.

Menurut beliau, perkara berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, dengan Perdana Menteri mengarahkan supaya penelitian lanjut dibuat sebelum sebarang keputusan diumumkan.
“Perdana Menteri meminta supaya beberapa aspek berkaitan perkara ini diteliti dengan lebih mendalam.
“Kita mahu melihat pelaksanaannya secara menyeluruh, termasuk dari segi tempoh, kumpulan yang terbabit serta sektor yang akan terlibat,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebarang pengumuman mengenai perkara itu berkemungkinan dibuat ketika Pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober depan.
Katanya, kerajaan juga mengambil kira pandangan pihak berkepentingan termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) yang sebelum ini menyuarakan pandangan mengenai isu gaji minimum.
“Pandangan daripada pelbagai pihak perlu didengar dan diteliti sebelum kerajaan membuat sebarang pengumuman,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan, Perdana Menteri turut mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) menghubungi alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi meneroka ruang untuk mereka menyumbang lebih banyak pandangan dalam perbincangan berkaitan kepentingan negara.
Arahan itu susulan pertemuan Perdana Menteri dengan kumpulan alumni berkenaan, yang antara lain memperlihatkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang, termasuk sektor korporat.





