Fadhlina minta semua pihak hormati siasatan kes kematian pelajar

SEMUA pihak diminta memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kematian seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan kelmarin.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, siasatan terhadap kejadian berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), justeru proses itu perlu dihormati.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, pihaknya percaya semua pihak mengharapkan hasil siasatan dapat memberikan jawapan berhubung kejadian terbabit.

“Beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.

“Kita semua mahukan perkara yang sama. Kebenaran dan keadilan,” katanya dalam hantaran itu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama.

Kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan buli, manakala seorang pelajar turut ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jemaah Nazir melakukan audit segera di sekolah terbabit bagi menilai aspek keselamatan serta pematuhan terhadap tatacara yang ditetapkan.

Langkah itu turut bertujuan memastikan sebarang kelemahan atau ketidakpatuhan yang berlaku dapat dikenal pasti dan tidak terlepas daripada perhatian pihak kementerian.

Pada masa sama, KPM memaklumkan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM sepanjang siasatan kes berkenaan dijalankan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here