PENGANJURAN semula perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sekadar mengembalikan kemeriahan sukan permotoran bertaraf dunia ke Malaysia, malah berjaya memperkukuh imej negara di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan penganjuran Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain yang berakhir Ahad lalu turut memberi ruang kepada usahawan tempatan meraih manfaat ekonomi menerusi kehadiran peminat dan pelancong.
Beliau berkata, kepulangan aksi F1 ke Sepang selepas sembilan tahun menjadi peluang untuk rakyat Malaysia kembali menikmati perlumbaan berprestij itu di tanah air.
“Penghargaan khusus kepada Bahrain atas persahabatan yang memungkinkan detik bermakna ini. Semoga hubungan erat kedua-dua negara terus mekar,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Anwar turut berkongsi video sorotan perlumbaan yang memaparkan kemeriahan acara selain reaksi peminat tempatan yang menyambut baik peluang menyaksikan aksi F1 secara langsung.
Antara yang menarik perhatian adalah harga tiket yang ditawarkan serendah RM200, sekali gus memberi peluang lebih ramai peminat tempatan menghadiri perlumbaan berkenaan.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan penganjuran itu, yang disifatkan meninggalkan kenangan kepada rakyat Malaysia serta peminat F1 dari seluruh dunia.
Malaysia kembali menjadi tuan rumah GP Gulf Air Bahrain pada 2 hingga 4 Oktober lalu selepas Formula 1 pada Julai mengesahkan penganjuran perlumbaan berkenaan di SIC.
Penganjuran itu terlaksana hasil persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Kejayaan membawa kembali aksi F1 ke Sepang turut susulan hubungan erat antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, selain kerjasama kerajaan kedua-dua negara.
Perlumbaan berkenaan sebelum ini berdepan pembatalan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat sebelum Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah dan memastikan ia kekal dalam kalendar F1 2026.





