KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menganjurkan Majlis Iftar bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor dan tetamu jemputan di Putrajaya semalam.
Majlis ini merupakan platform tahunan kementerian bagi mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kerja kementerian, agensi serta para pemegang taruh di samping menghayati keberkatan bulan Ramadan yang mulia.

Bersempena program itu, Ahmad Fauwaz turut menyampaikan tazkirah selama 30 minit sebelum waktu berbuka. Dalam penyampaian ringkas itu, beliau menjelaskan bahawa Ramadan merupakan medan terbaik untuk memperbaiki diri serta membentuk peribadi yang lebih baik.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong turut hadir dan menyampaikan sumbangan daripada KUSKOP dan agensi di bawahnya berjumlah RM18,000 kepada Rumah Bakti Al-Kausar.
Beliau turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM10,000 serta barangan keperluan asas termasuk makanan kepada 20 orang anak-anak yatim dari rumah amal tersebut.
KUSKOP akan terus memperluas peranannya dalam memperkasa usahawan dan koperasi demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Penganjuran Majlis Iftar ini mencerminkan komitmen kementerian dalam menghayati nilai Ramadan melalui pengukuhan kebersamaan dan keprihatinan sosial.


