MARDI perluas tanaman benih bawang, sokong sasaran pengurangan import

MENJELANG 2030, projek tanaman bawang yang kini diusahakan oleh petani di dalam negara dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan diharap dapat mengurangkan kebergantungan import negara sehingga 30 peratus, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Luqman Ahmad berkata, ketika ini Malaysia masih mengimport hampir 100 peratus bekalan bawang yang dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion.

Beliau berkata, selain bawang, negara turut berdepan isu bagi jagung bijirin dan produk daging, justeru usaha memperkasa pengeluaran domestik perlu dipergiat secara berfasa dan tersusun.

“Hari ini saya turun padang bagi menyaksikan sendiri inisiatif kerajaan memperkenalkan tanaman bawang yang mempunyai potensi tinggi.

“Selama ini kita bergantung sepenuhnya kepada import, jadi langkah ini memberi impak besar kepada kerajaan dari segi pengurangan nilai import serta peningkatan sekuriti makanan,” katanya selepas melakukan lawatan ke Plot Pengeluaran Benih Bawang Merah Usahawan MARDI, Mohd Fauzi Abu Bakar di Beris Lalang, Bachok hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Menurut beliau, tanaman bawang sebenarnya hanya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dituai, sekali gus memberi pulangan cepat kepada petani.

Beliau berkata, berdasarkan projek rintis di kawasan itu, keluasan kira-kira 0.8 ekar mampu menjana hasil hampir RM35,000 bagi satu musim tuaian.

“Jika dalam tempoh dua bulan petani boleh memperoleh antara RM30,000 hingga RM35,000, ini satu tanaman yang sangat produktif dan berdaya maju. Ia bukan sahaja membantu kerajaan mengurangkan import, malah memberi pendapatan terjamin kepada petani,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tanaman bawang kini turut diusahakan di Sabah melibatkan kira-kira lapan hektar, selain di Pahang, sebagai langkah permulaan sebelum diperluas ke negeri lain.

Katanya, sebahagian hasil projek rintis di Kelantan akan dijadikan benih untuk diagihkan kepada petani lain, dengan sokongan penyelidikan dan pemindahan teknologi oleh MARDI.

“Pada peringkat awal, di Beris Lalang ini kita membekalkan kira-kira dua tan benih sebagai permulaan. Kita juga memastikan bekalan benih mencukupi sebelum diperluaskan supaya apabila diuar-uarkan nanti, petani yang berminat tidak berdepan masalah kekurangan benih,” katanya.

Luqman menambah, satu biji bawang berpotensi menghasilkan sehingga enam biji bawang baharu selain benih melalui bunga bawang sekali gus membolehkan kitaran benih dikembangkan secara mampan jika sebahagian hasil disimpan untuk penanaman semula.

Beliau berkata, agensi pelaksana seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan memperluas pelaksanaan di peringkat lapangan, manakala MARDI terus memainkan peranan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kualiti serta produktiviti tanaman.

“Kita perlukan contoh kejayaan di lapangan untuk meyakinkan lebih ramai petani. Apabila mereka lihat sendiri potensi hasil dan pulangan, saya yakin tanaman bawang boleh menjadi antara sumber baharu pertumbuhan sektor agromakanan negara,” katanya.

Sementara itu, usahawan MARDI yang ditemui, Mohd Fauzi Abu Bakar, 44, berkata, dia melangkah setapak ke hadapan apabila memulakan tanaman bawang secara komersial sebagai usahawan benih di bawah bimbingan MARDI di Kampung Beris Lalang.

USAHAWAN MARDI, Mohd Fauzi Abu Bakar menunjukkan benih bawang yang ditanam dalam projek rintis MARDI di Beris Lalang, Bachok, Kelantan hari ini. GAMBAR: MARDI

Menurutnya, dia mengusahakan tanaman di kawasan seluas 2.5 ekar dengan satu ekar diperuntukkan khusus bagi bawang menggunakan kaedah polibeg serta sistem mitigasi terbuka bagi meningkatkan kawalan pengurusan tanaman dan hasil.

“Tanaman bawang saya sekarang berusia 55 hari kini hampir matang dan dijangka boleh dituai dalam tempoh 65 hari selepas ditanam.

“Saya memulakan tanaman menggunakan sebanyak dua tan benih daripada MARDI dan yakin sebahagian hasil akan dijadikan benih untuk diperluaskan kepada usahawan lain,” katanya.

Menurut Mohd Fauzi, bagi benih boleh dijual sekitar RM7 sekilogram bagi tujuan pengembangan benih.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img