MENTERI Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, segala pandangan, nasihat dan teguran Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota akan menjadi pedoman kepada Kerajaan Negeri untuk terus menambah baik penyampaian serta memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dapat dirasai rakyat.
Katanya, beliau dan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor menerima amanah iu dengan penuh rasa tanggungjawab.
‘’Segala pandangan, teguran dan dorongan terhadap usaha yang telah dilaksanakan bukanlah alasan untuk kami berasa selesa kerana masih banyak keperluan rakyat dan cabaran pembangunan yang perlu ditangani.
‘’Kerajaan Negeri akan terus dinilai berdasarkan kerja, prestasi dan keberkesanan pelaksanaan. Keutamaan kami kekal untuk memperkukuh ekonomi, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, menambah baik kemudahan asas serta memelihara kebajikan seluruh Bangsa Johor,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Onn Hafiz berkata, pada masa ysama, kepentingan serta hak Johor akan terus diperjuangkan, manakala hubungan profesional dan baik dengan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
‘’Tanggungjawab kami sebagai pemimpin Johor adalah untuk terus bekerja dan berkhidmat dengan menjaga kestabilan serta memastikan kemajuan Johor dapat diteruskan. Insya-Allah,’’ katanya.






