
SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan keputusan MCA tidak meletakkan calon di tiga kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai tindakan yang secara tidak langsung `membantu’ DAP mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan.
Beliau berkata, kerusi itu adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak, Mambau dan Lukut yang diberi laluan kepada calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding.
“Saya hendak mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kerana begitu ‘murah hati’ membantu DAP dengan tidak bertanding.
“Kalau kita (DAP) kalah pun kita akan lawan, tetapi MCA sangat bermurah hati, jadi terpulang kepada ahli MCA untuk menilai,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan mesra bersama-sama enam calon PH di Pasar Besar Seremban hari ini.
Calon berkenaan ialah Ho Weng Wah (Temiang), Lee Kai Yet (Mambau), Siau Meow Kong (Rahang), Nicole Tan (Bukit Kepayang), S Mugunthan (Seremban Jaya) dan Chew Seh Yong (Lobak).
Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, keputusan MCA tidak bertanding di kerusi tradisi itu juga adalah sebahagian daripada percaturan politik bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) memperoleh pertandingan satu lawan satu di beberapa kerusi lain melalui persefahaman dengan PN.
“Dalam percaturan ini, MCA mengorbankan tiga kerusi tradisinya untuk pertukaran supaya PN tidak meletakkan calon di beberapa kawasan yang ditandingi BN. Matlamatnya adalah mengelakkan perpecahan undi dan memudahkan pemindahan sokongan,” katanya.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, daripada tujuh kerusi ditandingi MCA iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Temiang, Rahang, Chuah dan Repah pada PRN kali ini, hanya DUN Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara beliau dengan MCA.
Penyandang DUN Chennah itu yakin Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP akan mendapat sokongan daripada pengundi pelbagai kaum bersandarkan rekod khidmat bakti yang dicurahkannya di kawasan itu sejak 2013.
Di DUN Chennah, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan dicabar Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Kong Choon yang mewakili BN.
Dalam pada itu, beliau berkata, DAP yakin akan dapat mempertahankan kesemua 11 kerusi yang ditandingi, sekali gus membantu PH membentuk kerajaan negeri.
“PH adalah pilihan terbaik kepada rakyat Negeri Sembilan berbanding gabungan daripada BN dan PN. Jadi, saya menyeru pengundi di Negeri Sembilan agar memberikan sokongan kepada calon-calon PH yang bertanding di seluruh negeri,” katanya.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian, manakala undi awal pada 28 Julai ini.
Seramai 889,490 pengundi berdaftar yang layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa, manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.






