Warga emas kerugian RM1.12 juta diperdaya terbabit pengubahan wang haram

SEORANG lelaki warga emas kerugian wang simpanan berjumlah lebih RM1.12 juta akibat terpedaya dengan helah licik sindiket penipuan menerusi telefon baru-baru ini.

Mangsa yang berusia 63 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai pegawai pendakwa raya dan pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mangsa yang bekerja sendiri di bandar raya Johor Bahru hanya menyedari dirinya ditipu selepas hadir membuat semakan di balai polis.

Menurut beliau, kejadian bermula apabila mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada 4 Mac lalu.

“Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai pendakwa raya yang memaklumkan kononnya mangsa terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram.

“Talian itu kemudian disambungkan kepada beberapa individu lain yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai BNM.

“Mangsa diperdaya supaya membuka akaun bank khas bagi tujuan siasatan dan diarahkan memindahkan wang simpanannya ke akaun berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sejak Mac hingga Mei lalu, mangsa yang panik dan menuruti arahan suspek melakukan 51 kali transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank berbeza menggunakan wang simpanannya sendiri secara keseluruhannya berjumlah RM1,125,000.

Katanya, bayaran tambahan turut dibuat atas alasan siasatan, jaminan mahkamah, dan pemprosesan dokumen.

Mengulas lanjut, Azrul Hisham berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa polis dan agensi penguat kuasa lain seperti mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahupun institusi kewangan tidak pernah mengarahkan orang awam untuk membuka akaun baharu atau memindahkan wang melalui panggilan telefon.

“Bagi mengelakkan orang ramai daripada terus menjadi mangsa taktik kotor sindiket ini, polis menasihatkan supaya mengambil langkah-langkah berikut iaitu jangan panik jika menerima tuduhan jenayah melalui telefon.

“Putuskan talian dengan segera dan semak terus dengan agensi yang berkaitan. Jangan kongsi maklumat perbankan seperti nombor akaun, kod TAC atau OTP.

“Jangan buka akaun bank atau membuat pinjaman atas arahan individu yang tidak dikenali dan buat semakan akaun terlebih dahulu melalui portal rasmi semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan transaksi,” katanya.

Azrul Hisham turut meminta orang ramai menghubungi talian 997 menerusi National Scam Response Centre (NSRC) dengan segera jika mengesyaki berlaku penipuan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img