TINDAKAN Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima secara terbuka keputusan Pas untuk tidak membantu calon Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula hari ini adalah tepat.
Begitu juga dengan keputusan Pas mengarahkan semua jentera parti itu tidak membantu operasi kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Bersatu.
Pendirian kedua-dua pihak itu akan mengelakkan pengundi terus keliru selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu walaupun kedua-duanya dalam Perikatan Nasional (PN).
Ia kerana pengundi sudah tertanya-tanya bagaimana kedua-dua parti boleh turun ke gelanggang PRN dengan lambang PN tetapi tidak berkempen bersama.
Bagaimanapun kedua-dua parti sama Pas mahupun Bersatu bersedia membantu parti komponen PN yang lain.

‘’ Jentera Pas Kawasan dan DUN ditandingi Bersatu PRN Johor diarah bertugas di DUN ditandingi Pas dan parti komponen PN yang lain,” kata Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari melalui Facebook hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata Pas mengesahkan parti itu hanya akan menumpukan gerak kerja kempen bagi calon-calonnya sendiri dan tidak akan membantu kempen calon Bersatu pada PRN Johor.
Abdul Hadi berkata, pendirian itu kekal, selain menjelaskan penggunaan logo PN oleh parti berkenaan dibuat atas beberapa faktor termasuk desakan pihak tertentu.
Mengulas pendirian Pas itu, Muhyiddin yang mengiringi calon BN, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk proses penamaan calon di Pagoh hari ini berkata, keputusan tersebut diterima dengan terbuka walaupun dalam semangat PN, setiap parti sepatutnya saling membantu antara satu sama lain.
“Pas tak nak bantu, tak apalah. Saya pun tak minta (parti lain bantu). Siapa yang nak bantu, bantulah. Walaupun dalam soal prinsip PN sepatutnya ada semangat saling membantu, tetapi kalau rakan-rakan tak nak bantu, kita terima,’’ katanya.
Bagaimanapun Muhyiddin menegaskan, Bersatu tetap mengamalkan sikap terbuka dan bersedia membantu mana-mana rakan sekutu yang memerlukan sokongan.
“Tetapi kalau rakan kita mahukan sokongan, kita akan bantu. Itu amalan kita, sikap kita terbuka,” katanya.
Sikap terbuka Muhyiddin dan penerimaan Bersatu terhadap keputusan Pas akan membuka peluang seluas-luasnya kepada Bersatu untuk membuktikan kekuatan mereka di PRN tanpa bantuan jentera Pas.
Ia disebabkan sebelum ini Bersatu dikatakan bergantung kepada jentera Pas untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Oleh itu PRN Johor gelanggang terbaik kepada Bersatu membuktikan kenyataan tidak betul apatah lagi seperti kata Muhyiddin, ‘’ “Setakat ini pun kita bekerja keras atas kekuatan yang kita ada berdasarkan dasar dan amalan yang telah kita lakukan selama ini. Saya yakin pengundi tahu bagaimana hendak membuat keputusan,” katanya.






