DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengiktiraf jasa, pengorbanan dan dedikasi para guru yang menjadi tunjang pembinaan anak bangsa serta mencorakkan akhlak, nilai dan ketamadunan negara
Perdana Menteri berkata, tatkala cabaran dunia menjadi semakin kompleks, peranan guru semakin genting dalam membentuk generasi yang memiliki kekuatan akhlak dan jiwa untuk mewarnai ilmu dengan nilai kemanusiaan serta kebijaksanaan, selaras dengan citra MADANI.
Menurut beliau, tanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah.
“Saya sendiri pernah melalui pengalaman sebagai tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an. Ketika itu, saya melihat ramai anak muda daripada keluarga susah dan tercicir daripada pendidikan, datang dengan kegelisahan tentang masa depan mereka.
“Pengalaman itu mengajar saya bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina keyakinan, mengangkat maruah insan dan menanam harapan serta cita-cita dalam kehidupan,” katanya dalam hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Guru yang disambut hari ini dengan tema tahun ini ‘Guru Bitara Nadi Negara’.
Perdana Menteri turut mendoakan semoga seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik anak bangsa demi Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan mampan.
“Selamat Hari Guru — Guru Bitara Nadi Negara,” ucap beliau.
Dalam pada itu, melalui video dimuat naik pada hantaran sama, Perdana Menteri menegaskan guru bukan sekadar penyampai dan penyebar ilmu, tetapi juga pembimbing yang membina pemikiran kritis, penyunting semangat jati diri serta pembentuk sahsiah.
Guru juga, katanya berperanan membentuk keperibadian dan akhlak mulia yang akan menjamin generasi dengan kekuatan, berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keunggulan guru dalam kelas turut melahirkan modal insan bermutu, menjadi asas kepada kestabilan sosial, perpaduan dan kemakmuran negara.
“Hari Guru ini untuk mengingatkan kita (sebagai) mantan murid, pengajar dan cikgu Anwar.
“Kita harus terus menjalankan tugas sebagai bitara agar melahirkan generasi MADANI yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.


