PENYASARAN penyasaran subsidi diesel yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Julai ini akan memastikan di bawah mekanisme ini, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, had kelayakan ini boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan sebenar penerima bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.
Dalam taklimat kepada media hari ini, beliau berkata, pendekatan itu kata beliau, memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka, tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan ialah diesel atau RON95.
”Ia juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mereka mengikut keperluan bulanan masing-masing,’’ katanya.
Amir Hamzah berkata, data perangkaan, hampir 90 peratus pemandu di Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter bahan api sebulan.
”Justeru, had kelayakan asas sebanyak 200 liter ini dijangka mencukupi bagi kebanyakan penerima yang layak,’’ kata beliau.
Amir Hamzah berkata, bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori tersebut.
”Ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95 peratus pengguna diesel mengguna kurang daripada 300 liter sebulan,’’ katanya dalam taklimat bersamaMenteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut Amir Hamzah, kemudahan tambahan kelayakan ini disediakan untuk membantu keperluan tambahan terutamanya golongan peniaga Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan juga mereka yang berulang-alik dari kawasan pedalaman, kata MoF.
‘’Selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel untuk membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut dipanjangkan kepada golongan seperti pengusaha bot sungai dan pemilik genset di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk memastikan keterangkuman liputan diesel bersubsidi untuk rakyat.
“Pada masa yang sama, mekanisme subsidi diesel sedia ada bagi sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan. Ini termasuk diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter bagi nelayan; BUDI Agri-Komoditi untuk petani kecil dan pemegang tanah komoditi berdaftar dan SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah dan bas ekspres.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI Diesel secara rapi dan mengumumkan sebarang penambahbaikan dari semasa ke semasa agar peralihan ini berjalan lancar, teratur dan tidak menjejaskan akses rakyat Malaysia yang layak kepada diesel bersubsidi,” kata beliau.
Amir Hamzah berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan dan had kelayakan bulanan secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my bermula hari ini (22 Jun 2026).
”Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh membuat permohonan tambahan 100 liter sebulan melalui portal yang sama mulai hari ini. Permohonan juga boleh dibuat secara fizikal di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk di UTC,’’ katanya.






