PM bakal rasmi LRT3 laluan Shah Alam Ahad ini

PENGOPERASIAN sistem Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dan kawasan sekitarnya akan bermula Isnin depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika mengumumkan perkara itu berkata, operasi LRT3 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahad ini.

ANTHONY Loke

“Majlis perasmian (LRT3) akan diadakan Ahad ini dan operasi akan mula berkuat kuasa keesokan harinya,” katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan di ibu negara hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengerusi Maju TMAS Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Perkhidmatan LRT3 sepatutnya memulakan operasi tahun lalu, namun pelancarannya ditangguhkan susulan beberapa isu berkaitan kestabilan sistem dan perisian dikenal pasti semasa fasa ujian serta pentauliahan (T&C).

Projek sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya dengan Johan Setia, Klang, sekali gus meningkatkan rangkaian pengangkutan awam di koridor barat Lembah Klang.

Laluan berkenaan turut memberi akses rel kepada kawasan dengan populasi padat dan pesat membangun seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Mengenai pejabat baharu JPJ cawangan Bandar Tun Razak, Anthony berkata, ia menampilkan konsep moden dan julung kali menampilkan kelainan apabila beroperasi antara jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Beliau berkata, pejabat itu akan menggantikan operasi JPJ di Bandar Tasik Permaisuri, di sini, selain pemilihan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) selari pendekatan baharu untuk pembukaan pejabat cawangan di kawasan tumpuan ramai.

Katanya, pemilihan TBS dibuat selepas mengambil kira kedudukannya yang strategik dan mudah diakses orang ramai, termasuk melalui pengangkutan awam, selain memiliki ruang parkir yang banyak.

“Tempoh operasi di sini juga dijangka dapat mengurangkan trafik di pejabat JPJ cawangan lain, selain peningkatan kapasiti dapat mempercepat urusan, meningkatkan kualiti penyampaian dan mengendalikan hingga 1,700 pelanggan sehari.

“Cawangan ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan digital, termasuk kiosk layan diri, aplikasi JPJeQ serta peranti bagi mempercepat transaksi serta memperkukuh aspek integriti dan keselamatan sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Mengenai kemungkinan kekurangan kakitangan, Anthony berkata, mobilisasi anggota JPJ di pejabat cawangan Bandar Tun Razak akan diuruskan sebaiknya dengan setiap mereka akan bertugas secara syif.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, tempoh operasi pejabat itu antara lain bakal mengubah norma dan cara bekerja anggota JPJ, selain mengakui ia adalah pendekatan baharu diperkenalkan kementerian.

“JPJ secara keseluruhan turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan operasi harian, termasuk untuk menganalisis keadaan penumpang (kenderaan awam). Faktor ini akan terus diperhebat dari semasa ke semasa,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img