PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Anwar dalam kenyataan berkata, pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni itu memberikan ruang yang baik untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan perkara berkaitan kebajikan serta kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan Madani dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, beliau dan Tunku Mahkota Ismail juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor.






