DALAM berhadapan krisis berterusan di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada rakyat negara ini, kerajaan sedang mengkaji keperluan memperkenalkan pakej ekonomi dengan keutamaan diberikan kepada jaminan bekalan barangan keperluan asas serta kawalan harga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ketika ini sedang menilai keseluruhan implikasi krisis tersebut dan tumpuan segera adalah untuk memastikan ketersediaan barangan asas.
“Ya, kita sedang meneliti semua implikasi. Yang penting sekarang adalah keutamaan yang disebut sebelum ini dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), khususnya memastikan barangan keperluan asas mencukupi seperti bahan api, minyak masak, tepung, garam, gula, sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam.
“Itu keutamaan segera. Kemudian, kita akan melihat sejauh mana kita boleh mengawal harga. Saya percaya itu adalah fokus utama,” katanya kepada media selepas Program MADANI Rakyat di Ipoh, hari ini.
Selain itu kata Perdana Menteri, kerajaan turut meneliti langkah untuk meringankan beban perniagaan, termasuk mengkaji semula cukai, tarif dan caj lain yang boleh diselaraskan bagi membantu mengurangkan kos operasi.
“Kita sedang melihat sama ada sedikit kelonggaran boleh diberikan kepada perniagaan, termasuk mengurangkan cukai tertentu, tarif atau caj lain yang dikenakan bagi membantu menurunkan kos,” katanya.
Pada masa kata Anwar, kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan e-invois sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk mengurangkan beban rakyat dan peniaga.


