Kesan krisis bekalan global mula meresap dalam kos harian

KESAN krisis bekalan global sudah mula meresap ke dalam kos pengangkutan, logistik, harga barang serta perbelanjaan harian rakyat, dan negara kini sedang berdepan fasa penyesuaian kos yang semakin nyata.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, hasil pemantauan harga bahan makanan terpilih bagi tempoh 13 hingga 19 April lalu menunjukkan pergerakan harga yang bercampur.

Menurut beliau, situasi itu menunjukkan tekanan bekalan tidak berlaku secara seragam, sebaliknya berbeza mengikut kategori dan dipengaruhi oleh faktor cuaca, kos input pertanian, kos pengangkutan serta turun naik bekalan jangka pendek.

“Harga purata ayam standard meningkat 2.8 peratus daripada RM9.09 sekilogram kepada RM9.33 sekilogram, manakala harga daging lembu menurun 5.0 peratus kepada RM35.65 sekilogram. Harga telur ayam Gred C pula kekal stabil pada purata RM3.66 bagi 10 biji.

“Bagi kategori ikan dan sayur-sayuran pula, harga ikan kembung menurun kepada RM16.43 sekilogram daripada RM17.08; purata harga sawi meningkat daripada RM5.89 kepada RM6.21 sekilogram; manakala bayam hijau kekal stabil pada RM5.26 sekilogram,” katanya pada taklimat khas berkaitan krisis bekalan global yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen tempatan hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut merekodkan kenaikan purata harga diesel di Semenanjung kepada RM4.09 seliter berbanding RM2.98 pada Februari lalu, manakala RON97 meningkat kepada RM4.01 berbanding RM3.11.

Sehubungan itu katanya, tindak balas kerajaan perlu cepat dan tepat berasaskan data semasa dalam mendepani kesan krisis berkenaan terhadap kehidupan rakyat.

Berhubung pasaran buruh, beliau berkata, trend kehilangan pekerjaan buat masa ini belum menunjukkan tekanan berskala besar, namun masih memerlukan pemantauan rapi.

“Pengalaman lalu menunjukkan impak kejutan kos tenaga terhadap pekerjaan lazimnya muncul dengan sedikit jarak waktu.

“Berdasarkan data permohonan faedah bawah Sistem Insurans Pekerjaan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 4,708 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan bagi tempoh 16 hari pertama April 2026,” katanya.

Akmal Nasrullah menjelaskan bahawa suku kedua 2026 akan menjadi tempoh penting untuk menilai sama ada tekanan kos yang dihadapi syarikat, mula diterjemahkan kepada langkah pengurangan operasi atau pekerjaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img