Kerajaan MADANI perkukuh MA63, Sarawak bakal terima kuasa perundangan

KERAJAAN MADANI mengambil satu lagi langkah memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila Jemaah Menteri bersetuju menerima cadangan pindaan perintah berkaitan pemberian kuasa perundangan Persekutuan kepada Sarawak.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerusi Memorandum daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Beliau berkata, Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) (Pindaan) 2026 bagi Sarawak sudah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan seterusnya akan diangkat untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pindaan berkenaan menjadi langkah penting bagi membolehkan fungsi pengurusan buangan terjadual diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak secara teratur, selain mengelakkan pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri.

“Penyempurnaan pindaan ini merupakan langkah penting sebelum penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) digantung di Sarawak, bagi membolehkan fungsi pengurusan buangan terjadual diserahkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak secara teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, pemberian kuasa itu dilaksanakan selaras Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan kuasa perundangan Persekutuan diberikan kepada negeri.

Katanya, pelaksanaan penyerahan kuasa berkenaan akan dibuat secara berperingkat dengan pengurusan buangan terjadual menjadi fasa permulaan.

Inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan merealisasikan komitmen MA63, khususnya berkaitan pemberian kuasa perundangan Persekutuan dalam bidang alam sekitar kepada Sabah dan Sarawak.

Kerajaan MADANI, tegas Fahmi, kekal komited memastikan pelaksanaan MA63 diterjemahkan melalui tindakan dan keputusan konkrit bagi memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri, selain menjamin kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here