PERINTAH tahanan rumah yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd akan diserahkan kepada Jabatan Penjara hari ini.
Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata, perintah berkenaan dikeluarkan Bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah menerima perintah berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Penjara Kajang dengan segera bagi membolehkan proses selanjutnya dilaksanakan.
“Denda RM50 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak telah dibayar oleh UMNO kepada Mahkamah Tinggi hari ini.
“Kami ingin memastikan proses ini dilaksanakan dengan berkesan dan cekap. Susulan itu, mahkamah telah mengeluarkan perintah tahanan di rumah, selaras dengan pengampunan Diraja.
“Kami telah menerima perintah tersebut dan akan menyerahkannya ke Penjara Kajang serta-merta,” katanya dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan urusan berkenaan, Muhammad Farhan menjangkakan semua proses itu dapat diselesaikan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pembebasan Najib pada hari ini bergantung kepada beberapa proses lanjut yang perlu dilalui pihak berkaitan.
“Sama ada Datuk Seri Najib dibebaskan hari ini, ia bergantung kepada proses tertentu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media lebih menyeluruh sebaik sahaja semua urusan berkenaan selesai, selain enggan mengesahkan individu yang hadir ke mahkamah bagi pihak UMNO untuk menjelaskan denda itu.
Sementara itu, satu sidang media berasingan oleh barisan peguam yang mewakili Najib dijadualkan berlangsung di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada jam 4 petang ini.
Terdahulu, Muhammad Farhan hadir di kompleks mahkamah bersama Pegawai Khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar bagi menguruskan pembayaran denda RM50 juta serta melengkapkan prosedur pentadbiran berkaitan.
Perintah tahanan rumah itu dikeluarkan selaras perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.




