MARDI capai 25 juta visibiliti media sosial, tujuh penerima raih pengiktirafan

INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya mencapai sasaran 25 juta visibiliti menerusi platform media sosial rasminya sepanjang tahun ini, sekali gus mencerminkan peningkatan keberkesanan strategi komunikasi digital organisasi berkenaan.

Pencapaian itu diumumkan Ketua Pengarah MARDI, Dr Sanimah Simoh ketika merasmikan Majlis Anugerah Media Sosial MARDI 2026 di Taman Agroteknologi MARDI Cherating, hari ini.

DR Sanimah Simoh

Menurutnya, kejayaan mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu hasil komitmen pentadbir media sosial di ibu pejabat, pusat penyelidikan, MARDI Negeri dan stesen yang bersama-sama memperluas capaian maklumat organisasi kepada masyarakat.

“Pada tahun 2026, sasaran KPI visibiliti MARDI sebanyak 25 juta telah berjaya dicapai. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan semua pihak dalam memperluas capaian maklumat dan meningkatkan keterlihatan MARDI di platform digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Pusat Komunikasi Korporat MARDI, Kamarul Anuar Ismail dan Pengarah MARDI Negeri Pahang, Ir Zainuddin Zakaria Zahari.

DR Sanimah Simoh (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Page Media Sosial Terbaik MARDI 2026 kepada MARDI Cameron Highlands pada Anugerah Media Sosial MARDI di Taman Agroteknologi MARDI Cherating, hari ini. GAMBAR: MARDI

Beliau berkata, media sosial kini bukan sekadar saluran mempromosikan aktiviti organisasi, sebaliknya menjadi medium strategik untuk membina kepercayaan, membentuk persepsi masyarakat serta menjaga reputasi sesebuah institusi.

Katanya, MARDI perlu memastikan hasil penyelidikan dan teknologi pertanian yang dibangunkan bukan sahaja dihasilkan, malah diketahui, difahami serta dimanfaatkan masyarakat.

“Sehubungan itu, teknologi pertanian, inovasi makanan, kepakaran saintifik serta kejayaan usahawan yang mendapat manfaat daripada teknologi MARDI perlu diketengahkan melalui kandungan kreatif, menarik dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini,” katanya.

Dalam majlis sama, tujuh anugerah disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, komitmen dan pencapaian warga MARDI dalam pengurusan serta penghasilan kandungan media sosial sepanjang tahun ini.

Taman Agroteknologi MARDI (TATM) Cameron Highlands muncul antara penerima utama apabila meraih Anugerah Page TATM Terbaik dan Anugerah Page Media Sosial Terbaik MARDI 2026.

MARDI Pendang pula memenangi Anugerah Peningkatan Pengikut Terbanyak dan Anugerah Page Komuniti Terbaik, manakala MARDI Pasir Puteh menerima Anugerah Poster Kreatif Terbaik.

Anugerah Video Kreatif Terbaik dimenangi Penerbit MARDI, sementara Anugerah Pentadbir Media Sosial Terbaik diberikan kepada Siti Syuknijah Ahmed dari MARDI Jerangau.

Mengulas lanjut, Sanimah berkata, kejayaan komunikasi digital tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah capaian, tontonan, interaksi dan pertambahan pengikut semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan kandungan meningkatkan kefahaman masyarakat serta memperluas manfaat teknologi MARDI.

“Setiap kandungan yang diterbitkan membawa imej dan identiti organisasi. Oleh itu, kreativiti perlu disertai dengan ketepatan fakta, kesesuaian mesej dan tanggungjawab profesional,” katanya.

Beliau berharap pengiktirafan itu dapat meningkatkan motivasi warga MARDI untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti, berkongsi idea serta memperkukuh kerjasama antara Pusat Komunikasi Korporat, pusat penyelidikan, MARDI Negeri dan stesen.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here