Kerajaan naikkan Peruntukan Perolehan Kerja 2026 bagi kontraktor G1 hingga G4 kepada RM4 bilion

DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan Peruntukan Perolehan Kerja 2026 bagi kontraktor gred G1 hingga G4 daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion, tahun ini.

Perdana Menteri berkata, peruntukan itu dinaikkan berbanding pengumuman awal pada Belanjawan 2026 bagi memperkasakan kontraktor kecil Bumiputera serta menjana ekonomi setempat.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

“Hari ini dalam ucapan Belanjawan 2026 (lalu), sebelum keputusan dan krisis dunia saya umumkan projek untuk pendidikan ini bumiputera gred G1 hingga G4 itu pengumuman pada belanjawan lalu sebanyak RM2.4 bilion.

“Kalau ikut tafsiran orang ramai, maknanya untuk penyelarasan dan pelaksanaan projek sepatutnya turun sebab kita (kerajaan) kata jimat, daripada RM2.4 bilion turun tapi itu bukan fakta.

“Faktanya untuk pembinaan bilik darjah di sekolah, saya umum RM2.4 bilion sekarang untuk dilaksanakan kontraktor kecil bumiputera sudah dinaikkan kepada RM4 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Dewan Kompleks Pendidikan Negeri Perak di Meru hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar dalam pada itu berkata, kontraktor kecil Bumiputera yang berprestasi baik akan terus diberikan dokongan oleh kerajaan bagi memastikan mereka terus berkembang.

“Sebab itu dasar kita walaupun saya tidak banyak cakap soal ini, pelaksanaan kita kontraktor gred G1 hingga G4 mesti ada. Ini kontraktor kecil kalau tiada dasar kerajaan yang jelas mendorong dan beri bantuan kepada mereka mempermudahkan kerja mereka, mereka tidak boleh berkembang.

“Saya bagi tahu Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Kementerian Pendidikan bila projek ini kita beri Surat Setuju Terima (SST) kita akan pantau pelaksanaannya.

“Syarikat-syarikat kontraktor kecil yang prestasi baik, saya akan pastikan dalam senarai kita beri kontrak lebih supaya mereka boleh berkembang, itu janji saya,” ujarnya.

Dalam majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan kepada Kementerian Pendidikan bagi pembinaan 6,000 bilik darjah baharu di seluruh negara.

“Majlis hari ini melibatkan 131 surat setuju terima (SST) ini penekanan bilik darjah tambahan, dulu peruntukan RM400 juta pembinaan 2,500 bilik darjah tambahan bagi lebih 800 sekolah dalam peningkatan jumlah murid.

“Jadi bagi memastikan ruang bilik darjah itu…saya mengumumkan bahawa kerajaan meluluskan peruntukan tambahan daripada RM500 juta diumumkan sebelum ini kepada RM900 juta ringgit bagi tahun 2026 untuk 6,000 bilik darjah,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img