KERAJAAN negeri Pahang akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) minggu depan bagi membincangkan isu eksport pasir sungai secara menyeluruh yang dibangkitkan dalam titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah baru-baru ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perbincangan itu untuk memastikan kepentingan negeri, kesejahteraan rakyat serta peningkatan hasil negeri dapat dijana dengan sebaiknya.
Beliau berkata, isu berkaitan pengurusan dan eksport pasir sungai di Pahang itu perlu dinilai secara menyeluruh serta berpandukan fakta teknikal yang sebenar.
“Isu tidak boleh disamakan antara aktiviti pengorekan di kawasan hulu sungai dengan kerja-kerja mendalamkan sungai di kawasan hilir dan muara yang mempunyai fungsi serta implikasi berbeza.
“Pasir yang terdapat di kawasan hilir dan muara sungai kebanyakannya adalah hasil mendapan semula jadi akibat hakisan tanah, pergerakan arus serta aliran sungai yang berlaku secara berterusan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Kuantan hari ini.
Beliau berkata, apabila mendapan itu semakin menebal, dasar sungai menjadi semakin cetek dan keupayaan aliran air turut terjejas.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja mengganggu sistem saliran sungai, malah meningkatkan risiko limpahan air dan banjir terutama ketika musim tengkujuh serta hujan lebat.
“Sebab itu, kerja-kerja pengorekan dan mendalamkan sungai di kawasan tertentu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti ekonomi atau perlombongan pasir.
“Hakikatnya, ia adalah sebahagian daripada langkah mitigasi banjir dan pengurusan sungai yang penting demi keselamatan rakyat serta kelestarian sistem sungai di negeri ini.
“Sekiranya kerja-kerja mendalamkan sungai ini tidak dilaksanakan melalui kaedah konsesi pasir yang terkawal, kerajaan negeri terpaksa menanggung kos yang amat besar menggunakan peruntukan awam bagi tujuan penyelenggaraan sungai, pengorekan mendapan dan pelaksanaan langkah tebatan banjir secara berterusan,’ jelas beliau.
Wan Rosdy berkata, pada masa sama, sekatan permit eksport pasir sungai yang dikenakan Kerajaan Persekutuan ketika ini memberi kesan langsung kepada operasi industri pasir di Pahang, khususnya membabitkan kawasan hilir dan muara sungai yang sememangnya memerlukan kerja pendalaman secara berkala.
Justeru, katanya, isu itu tidak wajar dipolemikkan atau dilihat hanya dari sudut keuntungan komersial semata-mata.
“Sebaliknya, ia perlu difahami dalam konteks yang lebih luas melibatkan pengurusan alam sekitar, mitigasi banjir, kelangsungan industri, peluang ekonomi serta sumber hasil kepada negeri,” tambah beliau.


