SEORANG pelajar lelaki sekolah menengah yang dikaitkan dengan video tular memaparkan dirinya dalam keadaan khayal di dalam kelas didapati positif tiga jenis dadah menerusi ujian saringan awal air kencing.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pelajar berkenaan sudah dikenal pasti dan ditahan untuk tindakan lanjut susulan penularan video itu di media sosial Threads.
Beliau berkata, polis mengambil maklum rakaman video yang tular sejak semalam itu, memaparkan seorang pelajar disyaki berada dalam keadaan khayal akibat penggunaan vape.
“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 28 Oktober lalu di sebuah sekolah menengah di Nilai.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap pelajar berkenaan mendapati keputusannya positif bagi dadah jenis ketamin, benzodiazepin (benzo) dan THC. Bagaimanapun, keputusan itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alzafny berkata, satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, pelajar itu akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah.





