Kerajaan teruskan eksport baja ke negara jiran – Mohamad

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak akan mengambil tindakan terburu-buru menghentikan eksport baja ke negara jiran, meskipun wujud dakwaan bekalan baja dari Malaysia itu dijadikan bahan menghasilkan bom buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya setakat ini masih menunggu laporan siasatan pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar sebelum sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, sebarang siasatan berhubung perkara itu sebenarnya bukan di bawah bidang kuasa KPKM.

“Itu (dakwaan isu SBBPKP (Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan) dijadikan IED) bukan bawah kementerian ini. Segalanya bergantung kepada laporan KDN dan Kementerian Luar. Kita tidak boleh siasat hal kementerian lain.

“Bagi kita, pembekalan baja kepada petani akan diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Industri Benih Tanaman Negara sempena MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang hari ini.

Pihak berkuasa Thailand sebelum ini merampas kira-kira 520 kilogram baja urea dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai pada Jumaat lalu.

Baja di bawah SBPKP yang dibekalkan anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) didakwa dijadikan bahan bagi menghasilkan IED oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.

Mengulas mengenai isu kelewatan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Mohamad berkata, ia akan diselesaikan segera dengan penghantaran baki bekalan dijadualkan bermula hari ini.

Katanya, masalah kelewatan pembekalan baja itu bukan kali pertama berlaku dan pihak KPKM sentiasa mencari penyelesaian yang terbaik.

“Memang kita sudah pun mengatasi masalah itu dan hari ini kita membatalkan kontrak dan menggantikan dengan NPK Fertilizer Sdn Bhd, anak syarikat NAFAS. Ia diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima baja tambahan, sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil padi pada musim ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here