ANALISIS
KEPUTUSAN Amerika Syarikat (AS) menolak permohonan visa delegasi Palestin yang dijadual menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan depan membuktikan bahawa pemimpin negara itu sama sekali tidak boleh dipercayai untuk menamatkan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.
Adalah sesuatu yang cukup memualkan apabila pada Jumaat, Jabatan Negara AS mengumumkan pembatalan visa beberapa anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin menjelang perhimpunan tersebut dengan alasan mereka gagal menolak “keganasan”, menghasut keganasan serta meneruskan “kempen undang-undang” di Mahkamah Jenayah Antarabangsa serta Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Alasan tidak masuk akal itu diberikan ketika rejim Zionis terus mengganas membunuh rakyat Palestin setiap hari di samping membiarkan penduduk Gaza termasuk bayi dan wanita kebuluran.

Seluruh dunia tahu yang mencetus keganasan adalah Israel! Yang menghasut keganasan adalah Perdana Menteri Israel yang juga penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu dan yang tidak mempedulikan sama sekali kuasa Mahkamah jenayah Antarabangsa serta Mahkamah Keadilan Antarabangsa ialah rejim Zionis!
Presiden AS, Donald Trump dan pegawai-pegawai Jabatan Negara AS sengaja pekak telinga, butakan mata dan ‘menjadi bisu’ apabila tidak mempedulikan fakta-fakta tersebut.
Oleh itu satu ‘kerja bodoh’ jika ada mana-mana negara yang percaya AS boleh menamatkan perang di Gaza atau percaya Trump boleh didesak untuk mengarah Israel menghentikan penjajahan mereka ke atas bumi Palestin!
Tetapi negara-negara Islam tidak boleh berbuat apa-apa ke atas Israel apatah lagi AS selain menzahirkan rasa kesal, kecewa ke atas kedua-dua negara itu yang berpakat menghancurkan laluan mewujudkan negara Palestin yang merdeka.
Penulis percaya perkembangan terbaru yang menyaksikan Jawatankuasa Menteri dan Islam menggesa pentadbiran AS mempertimbangkan semula keputusan tidak memberi visa kepada pemimpin PLO dan Pihak Berkuasa Palestin tidak akan ke mana.
Ia hanya membuang masa! Sebelum ini tidak ada satupun suara daripada negara-negara Arab dan Islam yang dilayan oleh AS dan sekutunya Israel. Kalaulah suara mereka didengari pastinya sudah lama kekejaman dan keganasan di Gaza berakhir!
Justeru berhentilah bermimpi bahawa AS akan mendengar gesaan jawatankuasa tersebut kerana negara kuasa besar itu lebih menjaga hubungan dengan Israel. Ia kerana AS tahu majoriti negara-negara Islam lebih mementingkan hubungan ekonomi dengan mereka. Inilah kelemahan negara Islam walaupun sebenarnya mereka ada kekuatan untuk melawan keangkuhan AS dan kejahatan Israel.


