MAHKAMAH Rayuan Dubai telah menaikkan denda terhadap ahli perniagaan India Balvinder Singh Sahni atau lebih dikenali sebagai Abu Sabah, kepada Dirham(Dh)150 juta (RM172 juta) dalam salah satu kes pengubahan wang haram terbesar di Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor akhbar Arab tempatan Emarat Al Youm dan Al Khaleej.
Mahkamah juga mengekalkan keputusan awal, termasuk hukuman penjara lima tahun, denda peribadi Dh500,000 (RM575,000) dan pengusiran selepas menjalani hukuman itu.
Kes berprofil tinggi itu yang melibatkan 33 defendan disifatkan sebagai salah satu kes jenayah kewangan terbesar pernah dibicarakan di negara itu.
Penyiasat menyatakan bahawa Sahni dan beberapa orang lagi menubuhkan rangkaian syarikat dan menjalankan kegiatan mencurigakan dengan memindahkan dana haram di dalam dan di luar UAE.
Mereka disabitkan bersalah melakukan pengubahan wang haram sebagai sebahagian daripada kumpulan penjenayah terancang, serta memiliki dan menyembunyikan barang yang dipercayai berasal sumber haram.
Pihak berkuasa juga turut mengarahkan rampasan hasil jenayah berjumlah Dh150 juta (RM172 juta) bersama komputer, telefon dan barang-barang lain yang dirampas semasa siasatan. Tiga syarikat yang dikaitkan dengan kes itu didenda Dh50 juta (RM50 juta) setiap satu.

Abu Sabah pernah membelanjakan Dh33 juta (RM37 juta) dalam lelongan awam pada 2016 untuk membeli plat nombor satu digit “5” Dubai.
Dalam satu wawancara, dia sering mempamerkan keterujaannya dengan nombor “bertuah”, gemar pada warna biru dan percaya objek tertentu melindunginya daripada musibah. Pada satu ketika, dia meletakkan Bugatti hitam di tengah-tengah rumah agamnya di Palm Jumeirah kerana diberitahu warna itu akan menangkis “mata jahat.”
Sebagai Pengerusi Kumpulan RSG, Sahni kerap muncul dalam pakaian tradisional Emirati yang dipadankan dengan topi besbol. Hiasan dalaman kediaman Palm Jumeirahnya bersalut emas dan menjadi simbol kekayaan serta gaya hidupnya.
Dilahirkan dalam keluarga kaya di Kuwait, Sahni mencipta kekayaan pertamanya dalam perniagaan alat ganti dan tayar sebelum berpindah ke Dubai pada 2006.
“Saya mempunyai satu minat…membuat wang,” katanya.


