Kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan tidak jejas MoU Kerajaan Perpaduan- Azalina

KERJASAMA politik di peringkat negeri tidak boleh disamakan dengan kerjasama di peringkat Persekutuan kerana setiap negeri mempunyai landskap politik dan kepimpinan berbeza.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, untuk itu kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan tidak menjejaskan perjanjian persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan.

“Saya melihat negeri dengan Pusat berlainan. Sebab setiap negeri itu ada Perlembagaan negeri sendiri, ada kepimpinan negeri sendiri dan ada Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Raja mereka sendiri.

“Jadi pada saya, negeri itu agak berlainan daripada pusat untuk kita samakan. Kepimpinan parti sudah banyak kali menyatakan bahawa Pusat itu berlainan dengan negeri,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau mengulas kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menggesa supaya perjanjian Kerajaan Perpaduan membabitkan BN ditamatkan susulan kerjasama antara gabungan itu dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mohd Puad dilaporkan berkata, sudah sampai masanya MoU Kerajaan Perpaduan khususnya BN ditamatkan awal dan dibatalkan, selain menyifatkan alasan bahawa kerjasama politik di peringkat Pusat dan negeri adalah berbeza sebagai tidak relevan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, setiap negeri mempunyai pendekatan politik yang diputuskan oleh kepimpinan parti berdasarkan realiti setempat.

“Bagi pihak kami, kami melihat di Johor kita (BN) pergi secara solo. Di Negeri Sembilan kita bekerjasama. Mungkin di Melaka pula kita tidak pasti lagi bagaimana pembentukannya.

“Kalau kita tengok di Sabah, kita pergi bersama PH secara tidak langsung. Jadi setiap negeri itu pembentukannya berlainan, (berdasarkan) keputusan parti politik sendiri,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, BN dan PN membentuk kerajaan negeri selepas kedua-dua gabungan itu memperoleh keseluruhan 25 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img