Lima warga Taiwan didakwa dagang wanita Cameroon

EMPAT lelaki dan seorang wanita warga Taiwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita warga Cameroon bagi tujuan eksploitasi kerja, bulan lalu.

Tertuduh, Chien Te Hsi, 27; Liao Shao Wei, 36; Hung Min Hung, 35; Chao Jhih Ying, 35, dan Tseng Wei Ting, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid menerusi jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin, lapor Buletin TV3.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memperdagangkan seorang warga Cameroon bagi maksud eksploitasi kerja di sebuah premis di Seberang Perai Tengah kira-kira jam 7 malam pada 16 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadhirah Abdul Rahim, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Vikraman dan Naveen Chandra Bose.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh selain memaklumkan mereka dipercayai memasuki Malaysia tanpa pasport atau dokumen perjalanan yang sah.

Mahkamah kemudian menetapkan tempoh tiga minggu kepada pihak pendakwaan untuk menyemak status dokumen perjalanan kesemua tertuduh sebelum menetapkan 1 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan eksploitasi manusia dan sindiket penipuan pekerjaan menerusi beberapa serbuan berasingan di daerah Seberang Perai Tengah dan Timur Laut pada 16 Julai lalu.

Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.

Seramai 29 warga asing terdiri daripada 20 lelaki dan sembilan wanita turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img