MALAYSIA kekal berpegang teguh kepada prinsip keamanan, berkecuali serta pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa dalam usaha memastikan kestabilan serantau dan global terus terpelihara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan berasaskan dialog, kerjasama dan persefahaman bersama perlu terus diperkukuhkan.
Beliau berkata, Persidangan International Military Law and Operations (MILOPS) ke-37 2026 menjadi platform penting dalam membina keyakinan, persefahaman serta kepercayaan antara negara yang berkongsi matlamat sama iaitu keamanan dan kestabilan.
“Platform ini bukan untuk meningkatkan ketegangan atau persaingan, sebaliknya untuk membina persefahaman bersama, kepercayaan dan keyakinan antara negara yang berkongsi matlamat sama.
“Setiap konflik mesti diselesaikan menerusi dialog secara aman, pengantaraan dan diplomasi, bukannya peperangan,” katanya ketika berucap pada Persidangan MILOPS ke-37 2026 di ibu negara hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kehadiran anggota serta aset ketenteraan juga tidak seharusnya dilihat sebagai simbol kekuatan atau intimidasi, sebaliknya sebagai komitmen bersama dalam mengekalkan keamanan.
Beliau berkata, peringatan sama turut ditujukan kepada kuasa-kuasa besar dunia yang memiliki keupayaan ketenteraan signifikan.
“Kami tidak berhasrat untuk menentukan bagaimana anda harus melaksanakan dasar luar dan mengurus hal ehwal antarabangsa.
“Namun, kami mengharapkan ia dilakukan dengan menghormati undang-undang antarabangsa serta aturan berasaskan peraturan secara konsisten, bukannya secara terpilih,” ujarnya.
Tambah beliau, Asia Tenggara juga mesti terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), yang menjadi prinsip penting dalam memastikan rantau itu terus menikmati keamanan serta mengelakkan konflik besar sejak beberapa dekad lalu.
Beliau turut menggesa semua pihak terus berpegang kepada prinsip keamanan, saling menghormati dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa yang menjadi asas kepada kestabilan ASEAN.
“Jika kita terus berpegang kepada prinsip keamanan, berkecuali, dialog, saling menghormati dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, saya yakin perbincangan dalam persidangan ini akan menyumbang kepada Asia Tenggara dan rantau Indo-Pasifik yang lebih aman, stabil serta makmur,” katanya.
Persidangan MILOPS ke-37 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos, menghimpunkan lebih 300 pegawai keselamatan daripada lebih 30 negara di rantau Indo-Pasifik bagi membincangkan cabaran berkaitan undang-undang, operasi dan dasar keselamatan.






