SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terus memperkukuhkan kerjasama strategik bagi memastikan dana perlindungan sosial negara tidak lagi menjadi sasaran manipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Langkah pencegahan proaktif diperkasakan dengan tumpuan utama diberikan kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), sistem permohonan serta pemantauan rapi bagi mengekang isu pemalsuan tuntutan yang melibatkan dana-dana di bawah program Perkeso.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pertemuan dan perbincangan dengan Perkeso ini penting bagi mengenal pasti punca-punca kelemahan yang wujud sehingga membuka ruang serta peluang kepada individu-individu syarikat memanipulasinya.
“Sudah tiba masanya kita mencari jalan penyelesaian bagi menambahbaik undang-undang, peraturan dan sistem yang dilaksanakan oleh Perkeso bagi mengekang ketirisan dana,” katanya ketika sesi kunjungan hormat di ibu pejabat Perkeso di ibu negara hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh dan Ketua Cawangan Kawalan Zon, Bahagian Perisikan SPRM, Mohamed Reemos Khan Fajarul Rahman.
Berdasarkan rekod tahun 2021, SPRM dengan kerjasama Perkeso telah membuka sebanyak 182 kertas siasatan melibatkan tangkapan seramai 302 individu. Manakala pada tahun 2022 dan 2023, menerusi Op Hire 1 dan Hire 2, sejumlah 120 kertas siasatan telah dibuka di seluruh negara melibatkan tangkapan seramai 155 orang individu.
Sejumlah 255 orang telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu iaitu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammad berkata, Perkeso memberikan komitmen penuh melalui penubuhan Unit Khas Penyiasatan Fraud bagi mengesan pemalsuan.
“Perkeso amat menghargai kerjasama SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas syarikat, agen dan individu yang mengemukakan tuntutan palsu kepada pertubuhan ini. Pelbagai langkah penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk mewujudkan Unit Khas Penyiasatan Fraud bagi mengesan pemalsuan ini,” katanya.
Perkeso juga katanya, akan mencadangkan satu sistem bersepadu bagi mengintegrasi data dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai elemen semak dan imbang setiap permohonan dana.


