Kes anjing : Pertuduhan akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Klang

POLIS sudah mendapat arahan pertuduhan berhubung kes seekor anjing yang mati ketika operasi tangkapan di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Majistret Klang esok susulan arahan yang diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selepas siasatan selesai dijalankan.

“Insya-Allah, esok dijangka diadakan pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang. Saya mohon rakan media merujuk pihak mahkamah bagi mendapatkan waktu sebenar pertuduhan.

“Pertuduhan ini dijangka bukan sahaja membabitkan pihak polis, malah agensi penguat kuasa lain juga,” katanya lapor Buletin TV3.

Shazeli bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada pertuduhan itu melibatkan lelaki dan wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan kes berkenaan, termasuk seksyen undang-undang yang akan digunakan.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang awam supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan berhubung isu berkenaan.

“Saya menasihatkan supaya tidak perlu diperbesarkan isu ini sehingga nak diadakan sebarang perhimpunan atau tunjuk perasaan kerana daripada aspek perundangan, siasatan telah dijalankan dan kita kenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab.

“…dan ini hasilnya, siasatan yang kami jalankan ini telah membawa kepada arahan pertuduhan esok. Ini menunjukkan bahawa kita tidak mengambil atau kita tidak berpihak kepada mana-mana (pihak). Selagi ada yang melanggar undang-undang, kita akan jalankan siasatan dan mengambil tindakan (mengikut undang-undang).

“Justeru kepada masyarakat, berilah ruang dan kepercayaan kepada perundangan untuk melaksanakan bahagian mereka,” katanya.

Ditanya mengenai kawalan di Mahkamah Klang esok, Shazeli berkata, polis sememangnya menjalankan kawalan di kawasan mahkamah, termasuk memastikan ketenteraman awam sepanjang prosiding.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here