KERTAS siasatan terhadap pengguna TikTok yang didakwa memfitnah dan mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu berhubung kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin dirujuk kembali kepada polis untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mengarahkan perkara itu berikutan terdapat beberapa aspek kes masih memerlukan siasatan lanjut sebelum keputusan pendakwaan muktamad dapat dibuat.
Menurut beliau, kertas siasatan pada mulanya telah diserahkan kepada DPP selepas suspek ditangkap dan direman untuk membantu siasatan.
“Bagaimanapun, kertas siasatan telah dirujuk kembali kepada kami untuk menyelesaikan beberapa perkara tertunggak dalam siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh hari ini.
Beliau memberitahu, antara keperluan yang tertangguh adalah analisis forensik yang masih belum dilengkapkan.
Tambahnya lagi, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 11 Jun, seorang pengguna TikTok ditahan selepas didakwa memfitnah dan mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu dalam siaran langsung yang dikaitkan dengan penemuan pendaki hilang, Jaslinda Saludin.
Lelaki berusia 30-an itu mendakwa Jaslinda telah ditahan oleh Tok Batin selama dua minggu sebelum ditemukan oleh penduduk kampung Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh pada 6 Jun.
Susulan itu dalam satu video lain, suspek mengakui bahawa kenyataannya telah menyebabkan salah faham dan prejudis terhadap komuniti Orang Asli dan pihak lain yang terlibat.
Jaslinda, 49, ditemukan selamat oleh penduduk kampung di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu selepas hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih.






